KULAI: Seorang penunggang motosikal maut selepas dipercayai dirempuh sebuah lori yang dipandu seorang lelaki disyaki berada di bawah pengaruh alkohol di Jalan Parit Panjang, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Supt Tok Beng Yeow berkata kemalangan membabitkan kedua-dua kenderaan itu berlaku kira-kira pukul 5.15 petang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas lori yang dalam perjalanan dari Air Bemban menuju Plaza Tol Sedenak itu hilang kawalan sehingga merempuh motosikal berkenaan yang juga dari arah sama.

"Penunggang motosikal berusia 48 tahun yang cedera parah pada kepala dan badan, maut di tempat kejadian.

Mayat kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat," katanya.

Tok berkata, hasil ujian pernafasan dilakukan mendapati pemandu lori terbabit positif alkohol.

Katanya, lelaki itu kini ditahan reman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

--BERNAMA