PETALING JAYA: Seorang lelaki maut akibat tercampak dalam lubang selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan sebelum terbabas di Jalan Lapangan Terbang Subang, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dipercayai hilang kawalan sejurus tiba di selekoh susur ke Saujana Resort, di sini sekitar jam 3.10 petang.

"Mangsa menunggang di selekoh susur kiri telah terbabas dan terlanggar batu penghadang di tepi jalan dan terjatuh ke dalam lubang di tepi jalan yang merupakan laluan motosikal bahagian bawah yang tidak digunakan.

"Mangsa seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun disahkan maut di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Fakhrudin berkata, siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sedang dijalankan untuk mengenalpasti punca sebenar kemalangan.

"Saksi kejadian dimohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Navalan Ravindran di talian 014 2536820 bagi membantu siasatan," ujar beliau.


Artikel asal di Sinar Harian