AYER KEROH: Seorang pelajar tahun akhir sebuah institut latihan kemahiran didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan yang dikenalinya di media sosial, bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Adib Hishamuddin, 20, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang sedang menuntut dalam jurusan elektrik didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan KS 1/5, Taman 1 Bukit Beruang, Melaka antara pukul 4 petang hingga 9 malam, 14 November 2022 lalu.

Tertuduh turut didakwa atas satu lagi pertuduhan sama iaitu melakukan amang seksual fizikal dengan cara meraba bahagian sulit mangsa sama di tandas awam dan bilik persalinan perempuan di sebuah kompleks tenis di Ayer Keroh pada pukul 12 tengah hari, 20 November lalu.

Justeru, tertuduh yang sedang mengikuti latihan di sebuah institut kemahiran yang beroperasi di Perak didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Difahamkan tertuduh mula mengenali mangsa melalui media sosial sejak beberapa bulan lalu.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, N. Sivashangari memohon jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius kerana melibatkan kanak-kanak yang baharu berusia 11 tahun.

Hakim Darmafikri kemudian dalam penghakimannya memutuskan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 11 Januari depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh yang diwakili peguam Andrew Lourdes turut diarahkan untuk tidak menganggu mangsa yang juga saksi pendakwaan.