ALOR SETAR: Persetujuan pihak industri menurunkan harga minyak masak secara berperingkat disifatkan sebagai berita gembira buat pengguna.

Presiden Persatuan Pengguna Negeri Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pengguna berdepan dengan kenaikan minyak masak botol secara mendadak di pasaran tempatan selepas 1 Julai yang lepas.

Menurutnya, selain minyak masak, pengguna juga terkesan dengan peningkatan harga barangan keperluan memasak lain seperti rempah.

“Jadi, apabila dimaklumkan harga minyak dijangka turun berperingkat, maka ia merupakan satu berita yang menggembirakan bagi mereka.

“Walaupun berperingkat, namun langkah ini disambut baik kerana ia sekurang-kurangnya dapat meringankan bebanan kos ditanggung pengguna,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Bagaimanapun katanya, Cake berharap penyelarasan bagi menurunkan harga minyak masak dapat dilakukan segera memandangkan kesan kenaikan minyak masak botol makin terasa.

Katanya, rakyat kini menderita dengan peningkatan harga makanan walaupun kenaikan harga minyak botol baru sahaja berlaku.

“Kita harap penurunan harga minyak masak dipercepatkan dan pihak berkenaan memberi jaminan dengan menetapkan satu tarikh penurunan harga kepada pengguna,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut berharap pihak berkaitan telus dengan harga komoditi minyak sawit mentah di pasaran minyak sawit semasa.

Katanya, ia memandangkan harga minyak naik apabila komoditi minyak sawit mentah naik, bagaimanapun tidak turun apabila berlaku kejatuhan harga komoditi itu.

“Perlu adil, jikalau harga minyak masak naik apabila harga komoditi kelapa sawit naik maka ia perlu turun apabila harga komoditi berkenaan menurun.

“Bagaimanapun bermacam-macam alasan diberikan untuk tidak menurunkan harga minyak apabila harga komoditi itu turun,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Yusrizal berharap peniaga makanan juga dapat menurunkan harga makanan apabila harga minyak masak diturunkan.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan pihak industri minyak masak sawit secara prinsip bersetuju membuat ‘adjustment’ bagi menurunkan harga minyak masak secara berperingkat berasaskan harga pasaran minyak sawit semasa.

Pengerusi Pasukan Jihad Tangani Inflasi yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihak industri bersetuju dengan syor Pasukan Jihad Tangani Inflasi mengenai penurunan harga yang dijangka dapat dilaksanakan dalam masa terdekat. - Sinar Harian