KUALA LUMPUR: Dr Rebecca Wong Shin Yee, sememangnya suatu nama yang tidak asing lagi dalam dunia sains bukan sahaja di Malaysia, malah di seantero dunia.

Namun, siapa sangka insan yang dinobatkan sebagai 2 peratus saintis terkemuka dunia oleh Standford University itu menanggung derita akibat penyakit autoimun.

“Beberapa tahun yang lalu, saya didiagnosis dengan penyakit autoimun dan ia menyebabkan sendi dan tendon saya menjadi bengkak.

“Pada mulanya, ia sungguh sakit sehingga menyebabkan saya mengalami kesukaran untuk menggunakan penyepit, menggosok gigi, membutang baju serta sukar untuk saya naik dan turun tangga.

“Saya terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak,” kata Dr Rebecca yang juga merupakan seorang Profesor Madya Fisiologi dan Ketua Sains Praklinikal, Fakulti Perubatan SEGi University.

Biarpun akui kehidupan menjadi amat mencabar dengan penyakit tersebut, beliau jauh sekali berfikir untuk berputus asa.

Selepas bertarung dengan penyakit tersebut untuk sekurang-kurangnya empat tahun, beliau kini semakin pulih dan tidak lagi memerlukan bantuan kerusi roda.

“Saya mahu terus bekerja keras walau apa sekalipun kesukaran yang saya hadapi.

“Saya tidak mempunyai rahsia untuk berjaya.

“Rahsia saya apabila berdepan dengan kesukaran dan kesulitan dalam hidup ialah supaya tidak berputus asa dan terus cekal menghadapinya,” ujarnya.

Apabila ditanya mengenai perancangannya masa hadapan, beliau ingin mendidik anak muridnya untuk menjadi saintis dan penyelidik yang berjaya.


Dr Rebecca merupakan penerima Anugerah Pendidik Muda Paling Berpengaruh di Malaysia pada tahun 2019.


“Penyelia saya di peringkat Doktor Falsafah melatih saya dengan bagus dan saya percaya kini giliran saya untuk memberikan motivasi kepada pelajar saya.


Profesor Madya Fisiologi dan Ketua Sains Praklinikal, Fakulti Perubatan SEGi University itu ingin mendidik anak muridnya untuk menjadi saintis dan penyelidik yang berjaya.


“Saya berharap pelajar saya dalam bidang penyelidikan dapat menjadi lebih berjaya daripada saya pada masa hadapan,” katanya.

Untuk rekod, Dr Rebecca telah berjaya menghasilkan lebih daripada 30 penerbitan dalam jurnal penyelidikan antarabangsa berimpak tinggi dan telah menjadi panduan serta rujukan lebih 2,000 kali oleh para penyelidik di seluruh dunia.

Di samping itu, beliau juga telah menerbitkan lima buku akademik dalam bidang fisiologi.

Dalam pada itu, pengamal perubatan profesional yang berdaftar dan terlatih juga merupakan penerima beberapa anugerah kebangsaan dan antarabangsa.


Dr Rebecca (ketiga dari kanan) juga menerima Anugerah Belia Cemerlang Malaysia pada 2018.


Antaranya, Anugerah Belia Cemerlang Malaysia pada 2018 dan Anugerah Pendidik Muda Paling Berpengaruh di Malaysia pada 2019.


** Sempena Hari Wanita Sedunia 2021, Astro AWANI mengucapkan Selamat Hari Wanita kepada semua kaum Hawa di mana sahaja anda berada. #ChooseToChallenge