HULU LANGAT: Tidak sekadar membawa laporan daripada wartawan di lokasi, hari ini penyampai berita Astro AWANI meninggalkan seketika set di studio dan bersiaran secara langsung dari Taman Sri Nanding, Hulu Langat, Selangor.

Bersama 12 orang kru, tiga penyampai; Essan Yahya, Luqman Hariz dan Dzulfitri Yusop turun ke lokasi bagi menyelami realiti yang perlu dilalui mangsa banjir di sekitar kawasan tersebut.

Pastinya tugasan itu tidak mudah kerana banyak perkara perlu diberi perhatian, apatah lagi ini merupakan kali pertama mana-mana stesen televisyen melakukannya.

Namun cabaran itulah yang menjadi aspirasi Astro AWANI sebagai jenama berita paling dipercayai rakyat Malaysia, sekali gus menggalas tanggugjawab besar dalam menyampaikan situasi sebenar kepada penonton.

Penyampai berita Astro AWANI meninggalkan seketika set studio mereka dan bersiaran secara langsung dari Taman Sri Nanding, Hulu Langat.

Sebelum buletin AWANI 745 bersiaran, hujan mula turun namun semangat tenaga kerja Astro AWANI tidak tergugat, biar bermandi hujan, tugasan tetap dilaksanakan bagi memastikan siaran langsung tidak terjejas.

Setakat jam 4 petang, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melaporkan 4,046 mangsa terjejas akibat banjir di seluruh negara, dengan Pahang merekod jumlah tertinggi 2,323 mangsa.

Turut terjejas ialah 1,009 mangsa di Kelantan, 433 di Terengganu, 252 di Selangor dan 29 di Negeri Sembilan.