KOTA TINGGI: Penyelia kontrak di Kompleks Bersepadu Pengerang, Mohd Zahazan Zainon, 45,dijatuhi hukuman penjara tiga tahun, denda RM16,000 atau penjara enam bulan dan dua sebatan selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memperdaya dua rakan sekerja untuk mendapatkan sumbangan pada 3 September lalu.

Pengakuan itu dibuat di hadapan Majisteret Nurmadiana Mamat di Mahkamah Majistret Kota Tinggi hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, tertuduh didapati menipu rakan sekerja dengan cara memperdaya mengatakan bahawa ahli keluarganya telah meninggal dunia akibat COVID-19 sedangkan perkara itu tidak benar dan mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM7,857 ke akaun bank tertuduh sebagai sumbangan derma.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memperdaya seorang lagi rakan sekerja dengan mengatakan hal sama sehingga mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM500 ke akaun bank tertuduh sebagai sumbangan derma.

Kedua-dua kesalahan dilakukan tertuduh pada 3 September lalu antara jam 5.20 petang hingga 9.25 malam di pejabat Bahagian Keselamatan Kompleks Bersepadu Pengerang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

BACA: Pekerja di Kompleks Bersepadu Pengerang ditahan berhubung dakwaan palsu

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nursyamim Fateha Mohd Amin manakala tertuduh diwakili peguam Nurul Hidayah Mohd Asri.

Nurul Hidayah turut memohon hukuman lebih ringan kerana itu merupakan kesalahan pertama tertuduh yang menanggung empat orang anak hasil perkahwinan terdahulu serta dua anak yang masih bersekolah di pusat tahfiz.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh serta mengambil kira kepentingan awam berbanding kepentingan peribadi.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dari tarikh tangkapan, denda RM15,000 jika tidak bayar penjara lima bulan dan satu sebatan terhadap kesalahan pertuduhan pertama.

Manakala bagi pertuduhan kedua, hukuman setahun penjara dari tarikh tangkapan, denda RM1,000 jika gagal bayar boleh dipenjara sebulan dan satu sebatan. Kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak.

Terdahulu, suspek ditahan selepas disyaki menyebarkan berita palsu kononnya kehilangan 14 ahli keluarga akibat COVID-19 sehingga meraih sumbangan RM91,000.