KUALA LUMPUR : Seorang penyelia pasar raya  berdepan ugutan penyebaran video onani selepas diperdaya menerusi aplikasi sosial  Line.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisoner Vijaya Rao Samachulu berkata, mangsa lelaki berusia 23 tahun itu dikatakan telah berkenalan dengan seorang wanita pada 22 Oktober lalu sebelum diugut seorang lelaki.

“Mangsa telah dihubungi seorang lelaki tidak dikenali menggunakan nombor telefon sama sebelum mengugut mangsa untuk membayar sejumlah wang bagi memadam gambar tersebut.

“Suspek mendakwa mempunyai gambar dan video mangsa dalam keadaan tidak berpakaian,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Vijaya menjelaskan, modus operandi sindiket berkenaan menggunakan wanita bagi memperdaya mangsa.

“Apabila mangsa melayari laman sesawang tersebut, suspek akan menghubungi mangsa dalam panggilan video dan meminta mangsa melakukan onani atau perbuatan lucah.

“Suspek akan merakam perbuatan mangsa sebelum membuat panggilan ugutan,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, polis telah menerima sebanyak 35 laporan melibatkan pemerasan video bogel sepanjang tahun ini dan telah membuat sebanyak 18 tangkapan.

Siasatan telah dibuat mengikut Seksyen 384 dan Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

Justeru, orang ramai diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan sindiket berkenaan dan polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mengenai sindiket terbabit.