KUALA LUMPUR: Suami kepada pasangan tular yang meninggalkan anak mereka untuk dijaga oleh pengawal keselamatan di pangsapuri Sky Awani I ditahan atas kesalahan jenayah lain di Wangsa Maju.

Satu klip video memaparkan pasangan tersebut memaki hamun pengawal keselamatan berkenaan turut tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, isteri kepada suspek yang merupakan wanita tempatan berusia 29 tahun membuat laporan polis berhubung video tular berkenaan.

"Hasil siasatan pihak polis berdasarkan video yang tular tersebut mendapati kejadian berlaku pada 27 Oktober hanya melibatkan pertengkaran mulut di antara pengadu dan pengawal keselamatan dan tidak melibatkan kekerasan jenayah.

"Suami pengadu telah ditangkap atas kesalahan jenayah bersabit kes lain di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju dan tidak melibatkan kes berkaitan video tular pergaduhan antara pengadu dan pengawal keselamatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sehubungan Itu, beliau menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan pergaduhan antara penyewa dan pengawal keselamatan berkenaan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini boleh menyalurkan ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222 atau mana-mana balai Polis berdekatan," ujarnya.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.