Taman Persisiran Ipoh atau lebih dikenali sebagai People’s Park yang terletak di tengah-tengah bandaraya ini sekali lagi menarik perhatian warga Ipoh apabila ia didakwa menjadi sarang seks golongan lelaki homoseksual pada waktu malam.

Lebih menjijikkan, golongan tersebut yang mula muncul di taman itu selepas jam 10.30 malam turut menawarkan perkhidmatan seks dengan harga serendah RM35 kepada sesiapa sahaja yang sanggup membayarnya.

Menurut seorang penduduk sekitar taman itu yang hanya mahu dikenali sebagai Steven, 52, kegiatan berkenaan didakwa mula berlaku sejak tahun lalu.

“Mereka ini bukan baru ada sini..sudah lama lah ada..mereka pandai, kalau orang tak kenal datang (mencurigakan) atau polis mereka akan lari ikut belakang taman.

“Saya pernah nampak mereka buat “kerja” dua kali dah, sekali di bilik kosong belakang taman itu dan sekali lagi di lorong gelap tepi taman itu,” katanya ketika ditemui di sekitar taman berkenaan baru-baru ini.

Tinjauan Astro AWANI di taman itu baru-baru ini juga mendapati memang wujud beberapa individu mencurigakan di taman berkenaan yang hanya berlegar-legar seolah-olah menunggu “pelanggan” dan ada juga yang duduk berpelukkan sesama sendiri tanpa rasa malu.

Sebaik melihat kehadiran wartawan serta jurugambar di taman itu, beberapa individu berkenaan telah berjalan dengan laju menuju ke arah belakang taman itu yang gelap manakala yang duduk berpelukan menjarakkan diri masing-masing.

Namun sebaik sahaja wartawan memasuki kereta dan beredar dari taman berkenaan, perlahan-lahan individu-individu tersebut muncul semula berlegar-legar. Perkara itu terjadi sebanyak tiga kali pada malam yang sama.

Seorang pekerja restoran, Osman Mahadi, 39 memberitahu suasana itu merupakan perkara yang biasa.

“Kadang-kadang dari tempat kerja saya datang sini duduk rehat sebentar sambil ambil angin, memang selalu nampak mereka ini.

“Saya tak pernah nampak mereka buat apa-apa tapi kadang-kadang kalau berpeluk atau berpegang tangan sesama sendiri memang biasalah,” ujarnya ringkas dan bersahaja.

Perkara ini sudah tentu membangkitkan 1,001 persoalan di kalangan warga Ipoh bagaimana taman yang dahulunya merupakan kebanggaan bandaraya ini kini seolah-olah menjadi sarang melempiaskan nafsu songsang individu-individu tidak bermoral.

Rata-rata warga negeri ini berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan selanjutnya terhadap isu ini memandangkan 2017 merupakan Tahun Melawat Perak dan Ipoh merupakan salah satu daripada tarikan pelancong bertaraf dunia.