Kerajaan negeri Perak akan menarik semula anugerah darjah kebesaran yang dikurniakan daripada mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang termasuk rasuah dan jenayah.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata perkara tersebut telah dititahkan sendiri oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebelum ini bagi memastikan penerima-penerima darjah kebesaran dari negeri ini betul-betul layak dan tidak terlibat dengan sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang negara.

“Kita di negeri ini amat teliti, calon-calon yang tersenarai untuk menerima pingat khususnya melibatkan calon Datuk dan ke atas juga akan disaring terlebih dahulu melalui Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pecengahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Tuanku memang bertegas dan begitu prihatin akan senarai mereka yang akan dianugerahkan pingat daripada baginda, lantaran itu kita lihat Perak tidak ramai menerimanya,” kata beliau dalam satu sidang media di sini hari ini.

Tambah beliau sebelum ini terdapat juga kes di mana kerajaan negeri melalui sebuah jawatankuasa ditubuhkan khas menolak beberapa nama calon kerana tidak melepasi proses saringan yang ketat tersebut.

“Kesemua calon itu akan melalui proses adakah mereka pernah terlibat dengan kes jenayah, keduanya adakah kedudukan mereka bankrap dan ketiga kes-kes dengan SPRM.

“Kita hendak tahu jika mereka ini pernah terlibat dadah atau kongsi gelap, malah termasuk juga mereka yang diketahui terlibat dalam kegiatan-kegiatan itu tetapi tidak pernah ditangkap,” jelas beliau.

Zambry turut bersetuju dengan cadangan SPRM yang sedia mengkaji keperluan untuk pihaknya menyaring bakal penerima gelaran darjah kebesaran di negara ini.

Cadangan tersebut timbul selepas tedapat beberpa penerima darjah kebesaran membawa gelaran “Datuk” dan “Datuk Seri” yang dikatakan terbabit dalam kegiatan kongsi gelap baru-baru ini.