IPOH: Kerajaan negeri Perak akan membincangkan semula keputusan untuk menjual tanah yang menempatkan Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar di Teluk Intan  secara tender.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, ia berikutan terdapat bantahan dan pandangan baharu mengenai keputusan itu.

Menurutnya, keputusan untuk menjual tanah itu dibuat ketika mesyuarat Exco tahun lepas.

“Saya akan bawa balik perkara ini dalam mesyuarat Exco pada hari Rabu untuk kita lihat kembali, sebab saya rasa itu adalah keputusan Exco yang dibuat pada tahun lepas untuk kita tender tanah berkenaan.

"Tapi tengoklah, setelah ada beberapa bantahan dan pandangan-pandangan lain itu termasuk ada yang memaklumkan ada beberapa lagi kawasan-kawasan bersejarah yang perlu dipelihara,” katanya.

Beliau ditemui ketika bersama-meninjau lokasi tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai - Blue Valley, Cameron Highlands dekat sini, hari ini.

Saarani berkata, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi semalam.

Menurutnya, sebarang keputusan mengenai tanah serta istana itu perlu dibuat dalam mesyuarat Exco kerana merupakan keputusan Exco yang lalu.

Terdahulu pelbagai pihak, termasuk pencinta sejarah membantah tindakan untuk menjual istana lama itu kerana ia dianggap sebagai warisan sejarah Kesultanan Perak dan wajar dikekalkan dan dipulihara.

Istana itu bersama kawasan seluas kira-kira dua hektar ditender untuk pembangunan projek komersial dan bangunan bercampur.