Perak menjadi negeri pertama memperkenalkan Pusat Panggilan Prihatin Isolasi (Isocare Centre) COVID-19 yang menggabungkan pelbagai jabatan dan agensi, bagi membendung penularan wabak tersebut.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, penubuhan pusat itu juga kini telah menunjukkan perkembangan yang positif.

"Perkara ini (Pusat Panggilan Prihatin Isolasi COVID-19) telah kita ilhamkan hasil daripada dapatan dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri yang saya pengerusikan.

"Kita perlu mencari kaedah bagaimana untuk menghalang penularan wabak ini, maka kita adakan satu call centre sama juga dengan menubuhkan pusat-pusat isolasi (pengasingan).

"Saya mendapati usaha yang kita lakukan ini setakat ini telah berjaya menunjukkan bibit kejayaan dan hari ini kita mempunyai enam anggota bersama dengan empat kaunselor yang bertugas, kalau ada keperluan untuk tambah...kita akan tambah

"Petugas di sini terdiri daripada pegawai kanan polis, pegawai pangkat rendah polis serta pegawai psikologi PDRM Perak dengan kerjasama pegawai kesihatan JKM Perak," katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Panggilan Prihatin Isolasi COVID-19 di bangunan Tabung Haji di sini pada Jumaat.

Menurutnya, pusat ini menggabungkan kerjasama antara jabatan dan agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negeri (MKN), Imigresen, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) serta Tabung Haji.

Katanya, seramai 1,219 orang berjaya dihubungi sejak 2 hingga 9 April, turut dibuat panggilan ulang sebanyak 421 panggilan ke atas individu tertentu.

Antara kumpulan sasaran pusat ini seperti kontak kepada kes positif, Person Under Investigation (PUI), Person Under Surveillance (PUS) (kontak atas kontak) serta warga Malaysia yang balik dari melancong dan bekerja di luar negara.

Peranan pusat ini termasuk mengenalpasti status kesihatan individu berkenaan seperti gejala sesak nafas, batuk, sakit tekak, demam dan dan cirit-birit.

Selain menjaga kebajikan individu dari aspek bekalan makanan, ubatan, keperluan kesihatan dan dialisis kepada ibu mengandung serta golongan sasaran yang kurang berkemampuan.