Kerajaan negeri Perak sedia mempertimbang saranan supaya memperkenalkan pakej poligami secara Jama'ie atau nikah beramai-ramai, kata Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri Datuk Mohd Nizar Zakaria.

Beliau berkata kerajaan negeri ketika ini hanya mempunyai Program Majlis Nikah Jama'ie Syar'ie untuk pasangan yang baharu hendak berkahwin dan ia dilaksanakan sejak 2013 pada setiap 16 September.

"Kita akan lihat dan pertimbangkan cadangan itu. Kita sedia maklum antara punca poligami termasuk yang bernikah di luar negara adalah kerana wali tidak bersetuju dengan perkahwinan itu.

Di peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan kita sentiasa berurusan dengan negara tertentu seperti Thailand khususnya yang melibatkan poligami," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Abu Bakar Hussian (PAS-Titi Serong) yang ingin tahu jika kerajaan negeri sedia memperkenalkan pakej khas poligami secara Jama'ie.

Terdahulu, dalam jawapan kepada soalan tambahan Datuk Mohammad Daud Mohd Yusof (BN-Selama), Mohd Nizar berkata pasangan pengantin daripada program itu akan disenaraikan di bawah Kelab Rakan Nikah Jama'ie bertujuan mengawal dan membendung kes-kes perceraian.

Selain itu, Mohd Nizar berkata pasangan yang bernikah di bawah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan mengikuti Kursus Pasca Perkahwinan terbahagi kepada empat fasa bermula daripada lima tahun pertama usia perkahwinan. - BERNAMA