IPOH: Kerajaan negeri Perak mengumumkan akan menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM700 kepada semua penjawat awam di negeri itu termasuk kakitangan di bawah skim ‘Contract Of Service’ dan ‘Contract For Service’.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata bantuan khas kewangan itu akan disalurkan pada 17 April ini.

Katanya insentif yang melibatkan peruntukan sebanyak RM5.63 juta itu akan memberi manfaat kepada 7,892 penjawat awam negeri.

“Penerima bantuan khas tersebut termasuklah Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT), guru i'dadi, guru thanawi, guru tadika Islam, Orang Besar Jajahan (OBJ) dan pegawai sambilan harian.

“Seperti tahun lalu, bantuan Khas Aidilfitri akan turut disalurkan kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan kadar RM500 seorang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia dekat sini pada Khamis.

Sementara itu Saarani berkata seramai 492 anggota pesara bagi tempoh Julai 2021 sehingga Jun 2022 Kerajaan Negeri Perak turut menerima inisiatif berjumlah RM1.792 juta.

Katanya insentif berkenaan disalurkan sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri atas khidmat bakti yang dicurahkan sepanjang mereka berkhidmat.

“Melalui insentif berkenaan sebanyak RM4,400 akan diberikan dalam bentuk Sijil Simpanan Premium (SSP), Bank Simpanan Nasional (BSN) kepada pesara yang layak,” katanya.