IPOH: Polis mengumumkan penutupan serta lencongan beberapa jalan di Bandaraya Ipoh sempena sambutan perayaan Thaipusam dari 3 hingga 7 Februari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, acara utama sambutan ialah perarakan pedati dan kavadi dari Kuil Sri Maha Mariamman, Sungai Pari, Buntong ke Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh.

Menurutnya, perarakan itu akan bermula jam 6 petang Jumaat dan dijangka selesai 12.30 tengah malam, manakala perarakan balik dijangka bermula 4.30 petang Isnin dan dijangka selesai 10.30 pagi Selasa.

Sehubungan itu, katanya, lencongan dan penutupan jalan secara berperingkat-peringkat akan dilaksanakan semasa perarakan tersebut.

Beliau berkata, antara jalan yang terlibat ialah Jalan Sungai Pari, Jalan Tun Perak, Jalan Lahat, Jalan Perhentian, Jalan Sultan Yusoff, Jalan Sultan Iskandar, Jalan Sultan Idris Shah, Jalan Laxamana, Jalan Raja Musa Aziz, Jalan Datuk Onn Jaafar, Jalan Datuk Ahmafd Said dan Bulatan Hospital.

“Pergerakan balik pedati dari Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh ke Kuil Sri Mariamman, Sungai Pari, Buntong akan melalui laluan yang sama,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Yahaya berkata, pihaknya menjangkakan kehadiran pengunjung seramai 80,000 sepanjang lima hari sambutan itu di Ipoh.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya di sekitar Bandaraya Ipoh agar merancang perjalanan dan mematuhi arahan anggota polis yang bertugas sepanjang tempuh tersebut.