KUALA LUMPUR: Perbezaan ideologi politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pendekatan Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Naib Presiden ll, MERCY Malaysia, Datin Raja Riza Shazmin berkata, paling penting ialah konsep itu kini perlu menumpukan isu pandemik dan mengembalikan negara ke situasi sediakala.

"Saya lihat sebagai satu keluarga, kita juga ada perbalahan, maknanya ada ketidakpuasan hati. Paling penting matlamat dan fokus kepada benda yang lebih positif dengan menyertai kumpulan sukarelawan, NGO.

"Jadi dari situ kita akan rasa mahu menolong, dari MERCY Malaysia saya melihat kumpulan ini dengan terharu kerana tidak mengira kaum atau agama mereka mahu melakukan kerja-kerja amal ini," katanya semasa sidang video pada Rabu.

BACA: PM ajak semua Ahli Parlimen selamatkan Keluarga Malaysia

BACA: Keluarga Malaysia: Jangan cari kesalahan, tapi duduk berunding - Penganalisis

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memperkenalkan penggunaan frasa Keluarga Malaysia bagi mengajak seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan fahaman politik bersama berganding bahu membawa keluar negara ini daripada pandemik COVID-19.

Beliau berkata, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana baginya, keutuhan negara terikat dengan nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.

Dalam pada itu kata Raja Riza, yang paling penting kini ialah semua pihak tidak mengira lapisan umur bersatu dan memberi kerjasama dengan konsep kesukarelawan.

Ujarnya pandemik telah membuka titik penyatuan kepada semua untuk kembali fokus kepada usaha memulihkan negara dari krisis yang melanda.


Keluarga Malaysia | Titik penyelesaian krisis semasa