Perbicaraan Zahid Hamidi: Tiada dokumen bukti RM26.05 juta sebagai sumbangan - Saksi

Hasimi Muhamad
Mac 10, 2021 05:32 MYT
Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) hadir pada prosiding sambung bicara kesnya di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini tiada sebarang dokumen yang membuktikan sebanyak 27 cek berjumlah RM26.05 juta yang diberikan kepada Tetuan Lewis & Co selaku pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah bagi tujuan sumbangan.
Ia masing-masing melibatkan MyEG Services Bhd berjumlah RM7.8 juta; Chia Bee Enterprise Sdn Bhd (RM10 juta); Sarana Kencana Sdn Bhd (RM6 juta); Jogabonito Jewellery & Diamond sebanyak RM250,000 serta Mubarak Hussein berjumlah RM2 juta.
Saksi ke-96, Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Amirudin Nordin, 38, berkata berdasarkan pemerhatiannya sebanyak 13 cek diberikan oleh MyEG; 10 keping daripada Chia Bee; dua keping daripada Sarana Kencana manakala satu keping masing-masing daripada Mubarak Hussain dan Jogabonito.
BACA: Kronologi kes rasuah Zahid Hamidi melibatkan dana Yayasan Akalbudi
Jelas Mohd Amirudin lagi, tiada sebarang resit atau dokumen sokongan menyatakan ia sebagai sumbangan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan pada sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffery On.
Ditanya bagaimana dia pada mulanya sedar ia sebagai sumbangan, Mohd Amiruddin menjawab:
“Saya telah mengenal pasti pemilik-pemilik cek ini untuk mengesahkan tujuan pembayaran cek tersebut dan tujuan pembayaran tersebut,” jawabnya.
Selain itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur turut diberitahu sebanyak 35 cek telah diuruskan oleh pengurup wang, Omar Ali Abdullah.
Manakala, lapan keping cek telah diberikan oleh Kiosk Solutions Sdn Bhd sebagai melobi projek dan dua keping cek daripada Ri-Yaz Assets Sdn Bhd bagi pemulangan bayaran balik pembelian saham yang tidak berjaya.
Kesemuanya diberikan kepada Tetuan Lewis & Co.
Mahkamah | Perbicaraan kes rasuah, pecah amanah Zahid hamidi
Dalam masa yang sama, Mohd Amirudin memberitahu Muralidharan yang merupakan rakan kongsi kepada Tetuan Lewis & Co telah menerima arahan daripada Ahmad Zahid untuk mendepositkan semua cek yang diterima daripada syarikat dan individu berkenaan ke dalam akaun ‘client’ Maybank Lewis & Co untuk dijadikan sebagai 25 simpanan tetap.
Jelasnya lagi, pembelian kesemua akaun simpanan tetap itu dibuat secara teratur dan mendapat kelulusan pihak bank.
Perbicaraan yang memasuki hari ke-50 hari ini berlangsung di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah.
Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran manakala pembelaan diketuai oleh peguam Hisyam Teh Poh Teik.
Selain 47 tuduhan itu, Ahmad Zahid turut berdepan 40 tuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Shah Alam berkaitan pelaksanaan sistem visa asing Malaysia (VLN).
Namun, 40 pertuduhan tersebut masih belum dibicarakan.
#Zahid Hamidi #SPRM #Kes rasuah Zahid #Yayasan Akalbudi #Tetuan Lewis & Co #Rasuah #pecah amanah #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia #Mohd Amirudin Nordin