KUANTAN: Perbincangan mengenai isu kesihatan mental harus menjadi amalan normal bagi mengelakkan stigma negatif dan salah tanggapan masyarakat terhadap pesakit mental.

Presiden dan Pengasas Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) Anita Abu Bakar berkata pengetahuan mengenai kesihatan mental juga harus diperhebat supaya individu yang memerlukan rawatan serta sokongan mendapat bantuan sewajarnya.

"Kita perlu biasakan perbincangan mengenai penyakit mental ini supaya orang ramai ada pengetahuan dan kesedaran... bila ada isu kesihatan mental, akan ada tanggapan contohnya seperti gila, bahaya, masalah jiwa dan kurang iman.

"Stigma itu perlu berubah, pentingnya ada ilmu kerana bila ada penyakit mesti ada rawatan, dan sekiranya rawatan itu menyeluruh, pesakit boleh sembuh," katanya kepada Bernama selepas Pelancaran Perkhidmatan Chatbot MIASA yang disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia Pahang Datuk Seri Maznah Mazlan di sini pada Sabtu.

Turut diadakan Prapelancaran Hab Baharu MIASA Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia serta Ulang Tahun Ke-5 MIASA yang dihadiri Ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Dr Firdaus Abdul Gani.

Chatbot MIASA merupakan ruang sembang menerusi aplikasi WhatsApp di talian +12028641153 secara automatik yang bertujuan antara lain memberi maklumat dan sokongan segera kepada individu yang berjuang dengan penyakit mental.

Anita juga berkata antara faktor yang mempengaruhi persepsi negatif individu terhadap pesakit mental ialah filem dan drama yang disiarkan.

"Kadang-kadang cara mereka gambarkan orang ada penyakit mental salah atau kurang tepat, bila mereka lahirkan gambaran tertentu terhadap pesakit mental, orang yang kurang pengetahuan akan ambil perkara itu sebagai kebenaran," katanya.

Mengulas Bajet 2023 yang turut merangkumi cadangan penubuhan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan, beliau berkata ia merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu bagi semua pemegang taruh berganding bahu di bawah satu bumbung untuk menghulurkan bantuan kepada individu memerlukan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 semalam, memaklumkan kerajaan memperuntuk RM34 juta untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan yang bertindak sebagai penggerak bersepadu antara semua pihak bagi kesejahteraan kesihatan mental rakyat di bawah payung MyMYNDA.

Dr Firdaus pula berkata individu yang pulih daripada penyakit mental adalah 'testimoni' terbaik untuk membantu dan memberikan harapan kepada pesakit lain.

"Berkenaan penyakit mental ini, ia bukan sahaja tentang kepercayaan tapi tentang harapan... sebab itu, saya suka bila ada individu atau pejuang penyakit ini tampil ke hadapan sudi bercerita dan berkongsi kejayaan mereka," katanya.

-- BERNAMA