KUALA LUMPUR: Tahap akses internet dan kesalinghubungan di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) ketika ini masih menggusarkan sehingga menjejaskan proses pembelajaran.

Demikian disuarakan mahasiswa Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik, Tan Wei Siang, yang mahu rangkaian 5G disambungkan secara sama rata ke seluruh negara, termasuk untuk manfaat penduduk PPR.

“Kita tahu kepentingan capaian internet di Malaysia khususnya semasa pandemik. Sebab, bagi saya yang duduk di PPR, capaian internet tidak cukup laju. Ada masanya, semasa kelas dalam talian juga terjejas.

“Kerajaan perlu pastikan semua kawasan ada capaian internet, walaupun sekarang sudah 4G, yang asasnya perlu ada capaian internet.

"Kedua, bagaimana untuk meningkatkan kelajuan sambungan internet 5G,” katanya dalam program Agenda AWANI.

Tan juga berharap agar kursus dan pendedahan mengenai teknologi baharu dapat ditingkatkan dalam kalangan pelajar universiti, memandangkan ia merupakan bidang yang kini menjadi tumpuan industri.

“Trend dalam industri kini bergerak kepada Kecerdasan Buatan (AI), big data dan kilang pintar. Sebagai contoh, ChatGPT yang kini berkembang pesat. Semua pihak memainkan peranan penting, khususnya kerajaan.

"Kalau boleh, laksanakan kemas kini silibus atau perkenalkan kursus berkaitan big data, data analytics dan machine learning, supaya semua mahasiswa ada pengetahuan ini dan mengikut trend industri,” katanya lagi.