LANGKAWI: Kegembiraan enam sahabat bercuti di Langkawi bertukar tragedi apabila dua daripada mereka maut manakala empat yang lain parah akibat kemalangan di Kampung Kilim, Jalan Air Hangat, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata kejadian jam 4.05 petang itu itu berlaku ketika kenderaan pelbagai guna (MPV) mereka dari arah Kuah menghala ke Air Hangat.

Katanya, MPV itu dipercayai dipandu dengan laju sebelum pemandunya hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kiri jalan lalu merempuh sebatang pokok.

“Impak pelanggaran yang kuat mengakibatkan kenderaan itu remuk dan enjin terpelanting ke atas jalan selain kesemua mangsa tercampak keluar dari kenderaan.

“Pemandu kenderaan maut sebaik tiba di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Maliha akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan badan manakala lima yang lain parah,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Shariman memaklumkan, pemandu yang maut dikenal pasti sebagai Mohd Firdaus Bin Nor Shaidi, 23, yang bekerja di Bahagian Sumber Manusia Markas Tentera Darat, Kementerian Pertahanan.

Katanya, seorang lagi yang maut adalah penumpang iaitu Maizatul Hana Mohd Rosdan, 21, yang meninggal dunia ketika dirawat di hospital pada jam 5 petang.

Empat lagi rakan mereka berusia antara 21 hingga 27 tahun yang parah turut dihantar ke Hospital Sultanah Maliha untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.