BALING: Kegembiraan percutian sebuah keluarga bertukar pilu apabila salah seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun lemas di kolam Pusat Rekreasi Kolam Air Panas, Ulu Legong, di sini.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mangsa dipercayai datang dari Padang Serai bersama ahli keluarganya dan tiba di pusat rekreasi itu jam 8 malam Sabtu.

Katanya, sebaik tiba, keluarga itu mandi di kolam air panas dan mangsa mandi di kolam kanak-kanak bersama kanak-kanak lain.

“Tiba-tiba salah seorang daripada ahli keluarga menyedari mangsa tiada di dalam kolam itu dan hilang dari pandangan.

"Setelah mencari hampir 15 minit pengunjung di situ memaklumkan menemui seorang kanak-kanak dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kolam mandi dewasa, jam 9.40 malam," katanya hari ini.

Menurut Shamsudin, pengunjung yang berada di situ cuba memberi bantuan pernafasan kepada kanak-kanak itu namun gagal.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital Baling yang tiba tidak lama kemudian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mengabaikan anak yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.