KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, meluahkan kekecewaan kerana segelintir majikan didapati menawarkan gaji tidak setimpal dengan kelayakan dan skop kerja yang perlu dilakukan oleh rakyat tempatan.

Menurutnya, kerajaan sedang giat membangunkan ‘talent pool’ yang berkemahiran, produktif dan berpotensi tinggi namun terdapat majikan masih menawarkan pendapatan di bawah paras gaji minimum.

"Saya juga ingin mengingatkan majikan bahawa mulai 1 Mei lepas gaji minimum seseorang pekerja ialah RM1,500 bagi keselesaan hidup Keluarga Malaysia.

"Sehubungan itu, saya meminta supaya pihak majikan mengambil serius mengenai perkara ini kerana pekerja merupakan tunjang utama dalam mana-mana organisasi di mana mereka boleh ‘make or break’ sesuatu perniagaan.

"Bagi menangani ketidakpadanan ini, KSM (Kementerian Sumber Manusia) digesa berunding dengan pihak majikan dan wakil-wakil pekerja bagi mengenal pasti pendekatan dan solusi terbaik kepada masalah ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 pada Isnin yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan juga boleh dimanfaatkan untuk melaksanakan konsultasi tiga penjuru bagi mencapai kata sepakat berhubung ketidakpadanan gaji Keluarga Malaysia

"Saya juga ingin menyeru kepada para majikan termasuk agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan swasta supaya menyediakan peluang kerja dan insentif terbaik untuk pencari kerja," ujarnya.

Tambah Ismail Sabri, kerajaan sentiasa mencari kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat termasuk berkaitan pengangguran dan kehilangan pekerjaan.

"Bagi memastikan perkara ini dapat ditangani dengan efektif, pelbagai inisiatif berkonsepkan ‘jamin kerja’ telah dilaksanakan untuk membantu mereka yang benar-benar terkesan dan memerlukan.

"Dalam usaha merapatkan jurang penawaran dengan permintaan pekerjaan oleh majikan dan pekerja, sebuah Profiling Kebangsaan perlu dibangunkan dengan mempergiat usaha pelaksanaan program 'outreach' pemprofilan pencari kerja di seluruh negara.

"Justeru, saya ingin menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia untuk merebut segala inisiatif dan insentif yang ditawarkan, bukan sahaja untuk menambah baik kehidupan tetapi juga berganding bahu memulih dan memperkukuhkan semula ekonomi negara," ujarnya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, berdasarkan statistik MYFutureJobs setakat Julai lepas, lingkungan gaji bagi kekosongan jawatan yang paling banyak ditawarkan di seluruh negara adalah antara RM1,200 hingga RM2,000 sebulan.