Pergeseran di antara Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini dijangka akan bertambah runcing pada masa hadapan.

Kata ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, ia akan melibatkan masalah pemilihan kawasan calon serta polemik perkongsian kuasa terutama pada pilihan raya akan datang.

"Buat pertama kalinya pemimpin Sabah yang mewakil Bersatu sekarang dipertanggungjawab rakyat negeri itu dalam segala jenis masalah dan kepincangan di peringkat Persekutuan.

"Kalau dulu soal berkisar kerajaan di pusat tidak boleh dituding jari kepada pemimpin Sabah, sekarang bekas pemimpin UMNO yang melompat ke Bersatu akan dipertanggungjawabkan di peringkat Persekutuan," katanya.


Abdul Rahman berkata demikian semasa program Menjelang Setahun Malaysia Baharu, pada Ahad.

Katanya, UMNO akan memberi tawaran baru di Sabah yang lengkap dengan proses autonomi dan kuasa untuk pengurusan ahli serta pemilihan calon pada pilihan raya akan datang di negeri itu.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Ulya Aqamah Husamudin, kemasukan parti itu ke Sabah membuka kerjasama lebih besar dengan Kerajaan Pusat.

"Kalau kita lihat dulu UMNO fokus Melayu sahaja dan tidak fokus seperti Bersatu, parti lain yang perjuangan negeri dan bersifat tempatan.

"Ia akan meningkatan kerjasama dan sefahaman di peringkat pusat, suara di bawa terus sebagai satu blok dan bukan komponen sahaja," ujarnya.


Ulya turut menjelaskan, pergesaran dua parti itu tidak seharusnya berlaku dengan penerangan skop Warisan yang lebih menumpukan negeri dan Bersatu sendiri di peringkat pusat.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini memberi jaminan kemasukan parti itu ke negeri Sabah tidak akan mengganggu Warisan dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Sebaliknya, jelas Dr Mahathir, Bersatu serta Pakatan Harapan akan memberi sokongan penuh kepada parti pimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu dalam menguruskan Negeri Di Bawah Bayu itu.