KOTA BHARU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan mengesan 20 gajah liar di kawasan Kampung Tok Uban dan Kampung Catan di Lata Rek, Kuala Krai, dekat sini.

Pengarahnya Mohamad Hafid Rohani berkata pemantauan oleh empat kakitangan Perhilitan Kuala Krai dan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Negeri Kelantan dilakukan selepas menerima aduan penduduk kampung, Jumaat lepas.

Beliau berkata kumpulan gajah yang mengganggu itu dipercayai gajah yang terdapat di Hutan Simpan Sungai Rek.

"Kumpulan ini telah berpecah kepada dua kumpulan utama, 14 gajah berada di kawasan Kampung Tok Uban manakala enam lagi di Kampung Catan. Kumpulan gajah ini berkemungkinan memasuki kawasan kampung dengan menyusuri pagar elektrik yang telah dibina oleh pihak ladang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Hafid berkata susulan itu, kakitangan Perhilitan Daerah Kuala Krai dan UTG Negeri Kelantan telah menjalankan kawalan dan tembak halau gajah liar berkenaan supaya kembali semula ke hutan berdekatan.

"Terdapat beberapa faktor menyebabkan gajah itu masih berada di kawasan kampung berkenaan antaranya pengecilan kawasan habitat hidupan liar tersebut serta sumber makanan yang mudah diperoleh di kawasan kampung kerana penduduk mengusahakan tanaman tebu, timun dan pisang.

"Selain itu, terdapat kebun yang semak samun dan tiga keadaan ini mendatangkan risiko yang lebih tinggi kepada gangguan gajah-gajah liar ini," katanya.

Beliau berkata Perhilitan telah memberi khidmat nasihat kepada penduduk kampung supaya memasang unggun api di kawasan kediaman masing-masing dan di laluan gajah liar masuk ke kampung serta kebun selain sentiasa membersihkan kawasan kediaman, ladang dan kebun.

-- BERNAMA