GERIK: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan kehadiran seekor gajah di Jalan Raya Timur Barat yang menghubungkan Gerik ke Jeli, seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Pengarahnya, Yusoff Shariff bagaimanapun berkata, gajah tersebut masuk kembali ke dalam hutan berhampiran beberapa minit kemudian.

Menurutnya, kejadian seumpama itu adalah perkara biasa yang sering berlaku di laluan tersebut.

Katanya, pihaknya menjangkakan pengguna sedia maklum mengenai potensi atau kemungkinan bertembung dengan gajah di laluan tersebut kerana pihak Perhilitan telah memasang beberapa papan tanda amaran.

Yusoff berkata, lazimnya gajah-gajah di kawasan berkenaan sudah biasa dengan kehadiran manusia dan kenderaan.

Bagaimanapun, beliau berharap pengguna jalan raya tidak melakukan provokasi atau terlalu berani menghampiri gajah berkenaan.

Sebaliknya, kata beliau, jika bertembung, pengguna dinasihatkan supaya perlahan atau memberhentikan kenderaan, mengambil jarak selamat dan membiarkan gajah berkenaan masuk semula ke hutan.

Terdahulu tular di media sosial Facebook, kelihatan seekor gajah yang dikatakan sedang melintas jalan di Jalan Raya Timur Barat baru-baru ini.

Bagaimanapun, tiada sebarang kejadian tidak diingin berlaku.