KUALA LUMPUR: Siasatan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mendapati tiada sebarang tanda atau kesan kehadiran harimau di kawasan Kemensah Height, Hulu Kelang, di sini seperti yang tular di media sosial sejak Jumaat.

Perhilitan Selangor menjelaskan sembilan kakitangan daripada Ibu Pejabat Perhilitan, Perhilitan Wilayah Persekutuan dan Selangor ke lokasi kejadian selepas menerima aduan penemuan seekor harimau berkeliaran di Jalan Tropika Kemensah 3, kira-kira pukul 3 petang, Jumaat.

"Sebaik laporan diterima kita menjalankan pemantauan susulan di kawasan aduan antara pukul 11.30 malam dan 3 pagi tadi.

“Tiada kesan jejak Harimau Belang dijumpai di lokasi itu dan laluan rentis di sekitarnya kawasan aduan, malah pengawal keselamatan yang didakwa melihat haiwan  berkenaan juga tidak dapat mengesahkan kesahihan kehadiran hidupan liar itu," katanya dalam kenyataan  yang dikongsi menerusi Instagram di sini, pada Sabtu.

BACA: Sukar percaya insiden terserempak harimau, aktiviti riadah di Kemensah masih diteruskan

BACA: Polis terima laporan penampakan harimau di Kemensah Heights



Mengulas lanjut, Perhilitan turut menegaskan orang ramai supaya tidak membuat sebarang aduan sebelum memastikan sesuatu perkara itu sahih bagi mengelakkan berita palsu tersebar sehingga mencetuskan situasi panik.

Pun begitu, Perhilitan menyaran orang ramai supaya lebih berwaspada sekiranya terserempak dengan hidupan liar.

"Sebarang aduan atau maklumat boleh disalurkan kepada talian hotline PERHILITAN 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my," jelasnya

Sebelum ini tular di media sosial yang mendakwa seorang pengawal keselamatan warga Bangladesh terlihat haiwan liar itu berlegar-legar di kawasan terbabit.

Pengawal keselamatan berusia 51 tahun itu bagaimanapun ditahan kira-kira pukul 7 petang Jumaat bagi membantu siasatan.

BACA: Pengawal keselamatan dakwa temui harimau berlegar-legar ditahan - Polis

Semakan juga mendapati lelaki itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.