KUALA LUMPUR: Perkhidmatan kereta api transit aliran ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) di beberapa laluan dan Monorel Kuala Lumpur yang ditutup sementara susulan perhimpunan di ibu negara sejak pukul 7 pagi Sabtu dibuka semula secara berperingkat.

Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) menerusi perkongsian di Facebook rasminya di sini pada Sabtu memaklumkan, perkhidmatan itu dibuka sejak pukul 11.30 pagi tadi.

Terdahulu, Prasarana memaklumkan penutupan perkhidmatan yang melibatkan LRT laluan Ampang dan Sri Petaling, LRT laluan Kelana Jaya, MRT laluan Kajang dan kesemua laluan Monorel KL akan dilakukan dari pukul 7 pagi sehingga pukul 3 petang selepas mendapat nasihat polis.

Antara stesen yang terlibat adalah Stesen Pudu, Masjid Jamek, Hang Tuah, Bandaraya, Plaza Rakyat dan Sultan Ismail bagi perkhidamatan LRT laluan Ampang dan Sri Petaling.

Sementara stesen Pasar Seni, Dang Wangi, Masjid Jamek dan Kampung Baru melibatkan laluan LRT Kelana Jaya.

Bagi MRT laluan Kajang pula melibatkan penutupan sementara setsen Pasar Seni, Bukit Bintang dan Merdeka.

Juga dimaklumkan perkhidmatan bas bagi laluan Jalan Bangsar, Jalan Pasar Seni, KL Sentral, Jalan LRT Masjid Jamek, Jalan Dang Wangi, Jalan Tuanku Abdul Rahman, IPD Dang Wangi, Jalan Pudu dan Jalan Maju Junction menghala ke pusat beli belah Sogo juga dilencongkan.

Media melaporkan peserta perhimpunan #TangkapAzamBaki mula berarak di sepanjang Jalan Bangsar, di sini, sejak pukul 11.20 pagi, Sabtu.

Perhimpunan itu diadakan sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki meletakkan jawatan.

Mereka yang bergerak dalam beberapa barisan turut melaungkan, "Hidup Rakyat, Tangkap Azam Baki!'

Turut berada di lokasi, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor bagi memantau perhimpunan berkenaan.