KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan memeriksa butiran diri kira-kira 40 individu termasuk 12 aktivis yang hadir pada perhimpunan program Pentas Anak Muda #TangkapAzamBaki anjuran Pemuda Amanah Nasional di Dewan Restoran Amjal, Jalan Pantai Baharu, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, berdasarkan siasatan awal, polis mendapati individu-individu itu dipercayai berhimpun kira-kira pukul 9 malam Jumaat untuk mengajak orang ramai hadir pada perhimpunan #TangkapAzamBaki yang dijadualkan diadakan berhampiran Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar, kira-kira pukul 11 pagi Sabtu.

Namun demikian, katanya, tiada tangkapan dilakukan. 

"Pihak polis ingin memaklumkan bahawa perhimpunan ini tidak mendapat permit dan kebenaran daripada pihak berkuasa dan pihak penganjur gagal menghantar notis pemberitahuan untuk mengadakan program perhimpunan ini kepada pihak polis.

"Selain 12 aktivis yang hadir perhimpunan ini, lapan pengunjung adalah orang awam.

"Kita mengambil butiran diri sahaja. Mereka tidak dipanggil untuk memberi keterangan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Amihizam menjelaskan kes itu disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 atas kesalahan pemberitahuan perhimpunan.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak menyertai mana-mana perhimpunan tanpa permit yang sah daripada polis.

"Berhimpun secara haram boleh menimbulkan kacau ganggu awam," tegasnya.

Sebelum ini media melaporkan bahawa satu perhimpunan akan diadakan oleh pihak tertentu bagi menggesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki meletakkan jawatan.