SERDANG: Biarpun nama hampir sama, beza Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) adalah seperti ‘langit dan bumi’, kata bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sewaktu merasmikan Konvensyen PN 2022 di sini hari ini, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, PN yang beliau terajui lebih mementingkan kesejahteraan rakyat dan negara.

Ini, katanya lagi, berbeza daripada BN, yang Muhyiddin dakwa, hanya memikirkan tentang bagaimana hendak ‘mengaut apa yang ada selagi sempat’.

“Satu lagi standing instruction saya ialah kepada YB Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz). Carilah mana-mana sumber kewangan yang ada untuk kita sediakan bantuan kepada rakyat supaya rakyat dapat terus menjalani kehidupan dalam waktu yang sukar.

“Hasilnya, lapan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan rakyat bernilai RM530 bilion dapat kita sediakan. Ini adalah pakej bantuan rakyat yang paling besar dalam sejarah negara kita,” katanya ketika menyentuh mengenai era pentadbiran beliau sebagai Perdana Menteri.

Turut hadir ialah Timbalan-timbalan Pengerusi PN - iaitu Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, Parti Maju Sabah Datuk Yong Teck Lee, Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Law, dan Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Muhyiddin, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa, ia sama sekali berbeza dengan sikap BN, apabila tular satu video bagaimana Pengerusi BN (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) mengarahkan Menteri Kewangan untuk membuat sebaliknya.

“Dia bagi arahan kepada Menteri Kewangan - “jangan ambil kesempatan, tapi ambillah mana yang sempat!” Dia sebut ini secara serius dan disambut dengan gelak ketawa oleh para hadirin. Seolahnya semua yang hadir faham apa maksud dia.

“Saudara-saudari, inilah beza Perikatan Nasional dan Barisan Nasional. Saya beri arahan kepada Menteri Kewangan supaya cari duit untuk diberikan kepada rakyat yang susah.

“Pengerusi Barisan Nasional arah Menteri Kewangan supaya kaut apa yang ada selagi sempat untuk kepentingan suku-sakat mereka,” dakwanya lagi.

Atas sebab itu, Muhyiddin berkata, beliau mengharapkan agar pengundi tidak akan salah memilih dalam Pilihan Raya Umum ke-15 kelak, dan terus memberikan sokongan kepada PN.

Berucap lanjut, beliau berkata, Malaysia perlu mempunyai suatu ekosistem budaya, politik dan pengurusan kerajaan yang bebas rasuah dan berintegriti.

Pengalaman lalu, katanya lagi, telah memberikan pengajaran bahawa budaya politik yang dilingkari amalan rasuah, merupakan suatu kemungkaran yang rosak lagi merosakkan.

“Amalan “ambil apa yang sempat” atau “rembat apa yang dapat” atau “sakau-menyakau” tidak boleh menjadi budaya dalam Perikatan Nasional. Ini budaya yang salah dari segi hukum agama, undang-undang, moral dan etika masyarakat.

“Amalan ini jika dibiarkan membarah boleh menjadi punca kejatuhan bukan sahaja parti politik, tetapi masyarakat, negara dan tamadun,” tegasnya lagi.

Muhyiddin berkata, transformasi budaya politik yang bebas rasuah mesti bermula dari diri sendiri, dan di dalam parti sendiri.

“Jika dilihat dari sudut yang positif, Perikatan Nasional adalah sebuah gabungan parti politik yang baharu.

“Kita berpeluang untuk memupuk dan membina budaya politik baharu yang berlandaskan kepatuhan kepada nilai-nilai agama, moral dan etika untuk mewujudkan sebuah budaya politik yang sihat, bebas rasuah dan berintegriti.

“Saya mahu subjek transformasi politik yang bebas rasuah dan berintegriti ini menjadi agenda utama Perikatan Nasional yang boleh dibahas dengan lebih lanjut di dalam konvensyen ini dan dikemukakan syor-syor untuk diteliti oleh Majlis Tertinggi Perikatan Nasional dan diambil tindakan susulan,” katanya lagi.