ALOR SETAR: Bilangan perjalanan feri ke Langkawi akan ditambah bermula 16 September ini susulan pengumuman pembukaan semula pulau itu sebagai destinasi pertama projek perintis gelembung pelancongan domestik.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures, Kapten Baharin Baharom berkata, bilangan perjalanan feri akan ditambah kepada dua perjalanan berbanding satu sebelum ini.

"Trip masuk ke Langkawi melalui Terminal Kuala Perlis akan ditambah menjadikan dua trip sehari iaitu sesi pagi dan petang.

"Untuk kemasukan melalui Terminal Kuala Kedah, ia akan dibuka selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tamat di kawasan itu pada 19 September nanti," katanya di sini, pada Khamis.

Pada Khamis, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri, mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan semula Langkawi sebagai destinasi pelancongan pertama negara.

Antara SOP berkenaan ialah destinasi itu boleh dikunjungi pelancong domestik dari seluruh negara termasuk yang berada dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ia bagaimanapun terhad kepada pelancong domestik yang lengkap dua dos vaksinasi.

Selain itu, tiada had umur ditetapkan untuk kemasukan ke Pulau Langkawi dan individu berumur bawah 18 tahun perlu bergerak bersama penjaga yang lengkap divaksinasi.