KUALA LUMPUR: Majlis gilang-gemilang Istiadat Perkahwinan Diraja Brunei selama 10 hari membuka tirai dengan rasminya pada 16 Januari lalu.

Puteri kedua bongsu Sultan Brunei Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah bersama Puan Hajah Mariam, Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah bakal mendirikan rumah tangga bersama pasangan pilihan, Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi.

Istiadat Perkahwinan Diraja itu bermula dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja yang berlangsung di Balai Persantapan, Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan.

Majlis Istiadat Bersuruh Diraja - Foto Jabatan Penerangan Brunei

Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah berkenan berangkat ke istiadat itu bersama paduka-paduka anakanda dan adinda.

Baginda mengurniakan titah penerimaan dan menyambut baik hasrat lamaran Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi yang disembahkan oleh ayahandanya Awang Nabil Mahmoud Abdulkadir Al-Hashimi.

Pada Isnin, berlangsung pula tradisi yang lazimnya diamalkan sejak zaman-berzaman dalam masyarakat Negara Brunei Darussalam, iaitu Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga.

Majlis yang penuh adat istiadat tersebut disempurnakan di hadapan Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah yang mewakili Sultan Brunei.

Pada Isnin, berlangsung pula tradisi yang lazimnya diamalkan sejak zaman-berzaman dalam masyarakat Negara Brunei Darussalam, iaitu Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga. - Foto Jabatan Penerangan Brunei

Rombongan membawa Kurnia Sepasukan Gendang Jaga-Jaga dari Istana Nurul Iman yang dipimpin Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan kemudian ke tempat kediaman Pengantin Diraja Lelaki, di Darussidiq, Jerudong.

Majlis diteruskan dengan Majlis Istiadat Menjunjung Kurnia Gendang Jaga-Jaga bagi Perkahwinan Diraja, yang berlangsung di Dewan Cempaka, Darussidiq, Jerudong.

Berkenan berangkat ke majlis berkenaan, Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen yang memangku Istiadat Perkahwinan Diraja, di pihak Pengantin Diraja Lelaki.

Berkenan berangkat ke majlis berkenaan, Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen yang memangku Istiadat Perkahwinan Diraja, di pihak Pengantin Diraja Lelaki. - Foto Jabatan Penerangan Brunei

Pada Selasa, berlangsung pula Majlis Istiadat Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja dihiasi dengan alat-alat kebesaran, yang mencerminkan keunikan juga kekayaan tatasusila dan kebesaran adat istiadat diraja Brunei.

Rombongan Menghantar Tanda Diraja terdiri daripada seorang Kanak-kanak Perempuan, berpakaian bergelang Pengaluan, bergelang Geronchong, memakai Subang dan berbunga Serondoh, diiringi oleh seorang Muda-muda dan Pengiran Empat, diikuti oleh Awang-awang, yang membawa Gangsa-Gangsa Bawa-Bawaan, yang berisi sepangadak Pakaian, sepasang Gelang, sepasang Subang juga Cincin dua belah jari.

Majlis Istiadat Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja - Foto Jabatan Penerangan Brunei

Manakala, Pertunangan Diraja, terdiri daripada seorang Kanak-kanak Perempuan yang berpakaian Baju Kurung, memakai gelang Pengaluan, bergelang Geronchong, memakai Kanching, Puntu Azimat, memakai Jamang di kepalanya dan berpanding.

Turut mengiringi seorang Kanak-kanak Lelaki Pemutus Tali Jintong, berpakaian lengkap, dengan diiringi oleh seorang Muda-muda, seorang Pengiran Perempuan Berbaju Gadong dan seorang Dayang-dayang, yang membawa Kaskol Langguai.

Majlis Istiadat Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja - Foto Jabatan Penerangan Brunei

Ia diikuti oleh Awang-awang yang membawa Gangsa Bawa-Bawaan, yang berisi Surat Mahar atau Berian dan Gangsa-Gangsa Ganti-Gantian, yang berisi pakaian, sepasang Gelang, sepasang Subang, Cincin dua belah jari, Ceramai, Kelakati dan Pisau, Dian 16, yang dibawa oleh 16 Awang-awang juga 40 Janar, yang disandangkan di bahu 40 Awang-awang, didahului oleh 12 Sinipit, manakala Alat Kebesaran Diraja, yang terdiri daripada 6 Pedang dan Perisai, 6 Tumbak Bendarangan juga 4 Kabok dan Panastan.

Berikut merupakan program penuh Istiadat Perkahwinan Diraja Brunei:

Istiadat Perkahwinan Diraja Brunei
Istiadat Perkahwinan Diraja Brunei