Perkasa atau mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) diminta tidak bercita-cita untuk menjadi sebuah parti politik selain perlu memahami fungsi kewujudan organisasi masing-masing.

Bekas Ketua Wira Perkasa, Armand Azha Abu Hanifah berkata, motif penubuhan NGO juga harus jelas dan bukannya menjaga kepentingan individu yang mencari survival politik.

"Musuh kita adalah yang mahu hancurkan negara dan perpaduan dalam negara kita yang dibina oleh UMNO dan BN. Oleh generasi lalu daripada sebelum merdeka sehinggalah hari ini.

"Perpaduan adalah yang paling utama dalam institusi UMNO. Sebagai generasi muda dalam UMNO sudah pasti kita mahukan melihat contoh yang baik oleh kepimpinan lalu dalam isu perpaduan institusi," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Armand mengulas kenyataan Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris yang menyatakan sokongan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selain meminta Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri.

Irwan turut menyatakan Najib gagal menjalankan tugas sebagai pemimpin nombor satu negara selain menyalahkan Perdana Menteri yang tidak menjawab tohmahan Dr Mahathir di dalam blognya.

Armand yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO berkata krisis kepimpinan yang besar tetap terjadi pada zaman Dr Mahathir tetapi barisan kepimpinan eranya berdiri teguh memberi sokongan kerana itulah sebenarnya setiakawan serta cara berinstitusi berpolitik.

"Dalam keadaan yang sama bila Dr Mahathir mendesak Najib meletakkan jawatan maka dia harus menerima kenyataan kepimpinan terkini harus berdiri serta bersama menyatakan sokongan kepada Najib selaku Presiden UMNO kerana ini juga dilaksanakan pada era pemerintah Dr Mahathir dahulu.

"Selaku pimpinan muda dalam UMNO saya menghormati Dr Mahathir selaku negarawan negara yang berikan pandang beliau demi kepentingan negara dan UMNO, tapi dia juga harus menghormati pilihan rakyat serta institusi UMNO melalui sistem demokrasi yang diguna pakai sepertimana di era zamannya dahulu.

"Bezanya, zaman Najib mengemudi negara adalah era yang paling mencabar dalam pentadbiran berbanding dengan Perdana Menteri sebelum ini," ujarnya.

Jelas Armand, Najib dan Dr Mahathir mempunyai kekuatan masing-masing dalam cara dan landskap politik yang berbeza.

"Namun harus diakui hala tuju mereka sama iaitu kepentingan rakyat dan negara tanpa meninggalkan asas penubuhan negara.

"Kerana itu setiap teguran Dr Mahathir harus dilihat sebagai teguran yang dibuat kerana sayang kepada UMNO sendiri," katanya.

Dalam pada itu jelasnya, masyarakat juga harus faham banyak soalan yg diajukan oleh Dr Mahathir telah dijawab baik secara peribadi mahupun wakil Najib baik secara santai, secara rasmi ataupun melalui proses undang-undang negara.

"Lihat daripada sudut positif daripada negatif. Ibarat teguran seorang bapa kepada anaknya.

"Ia sama seperti teguran seorang bekas Ketua Wira Perkasa Malaysia kepada Irwan yang memegang jawatan Ketua Wira Perkasa Malaysia kini," jelasnya.

Pada Selasa, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun menasihati Irwan untuk segera menukar kepimpinan organisasi itu dahulu sebelum ‎meminta Najib meletakkan jawatan Perdana Menteri dengan apa sahaja alasan yang diberi.

Tegas Khairul Azwan, Irwan seharusnya sedar terhadap kelemahan Perkasa selama ini dan tidak terlalu ghairah untuk mencari populariti murahan daripada isu blog Dr Mahathir.