Kejadian tembak-menembak diantara penganas dan pasukan keselamatan dilaporkan berlaku di Kampung Embara Sakti kira-kira pukul 11 malam tadi.

Astro AWANI difahamkan,usaha mengepung saki baki penganas itu sudah dilakukan sejak jam 9 malam.

Lapan warga Filipina yang berdepan dengan hukuman mati dan penjara seumur hidup atas pertuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong dan menjadi ahli kumpulan pengganas, telah didakwa di Mahkamah Tinggi Tawau.

Suspek berumur antara 17 hingga 66 tahun itu telah didakwa semalam di Mahkamah Majistret yang bersidang sementara di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.

Tiada pengakuan direkodkan dari tertuduh namun seorang dari tertuduh mendakwa bahawa dia telah disuruh dan diupah oleh oleh seseorang.

Pendakwaan dikendalikan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dengan dibantu Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Datuk Nordin Hassan dan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, kedua-duanya dari Pejabat Peguam Negara, Putrajaya.

Mahkamah menetapkan 12 April untuk sebutan bagi mengetahui perkembangan perbincangan peguam negara untuk melantik peguam bagi tertuduh, sama ada dilantik oleh Majlis Peguam, kerajaan Filipina ataupun tertuduh sendiri.

Sementara itu dalam satu siding media di Felda Sahabat, Lahad Datu, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyatakan seorang lagi pengganas berjaya ditembak mati dan seorang pengganas wanita berjaya ditahan dalam satu pertempuran dengan pihak keselamatan di Tanjung Batu semalam.

Dalam pertempuran tersebut, seorang anggota pasukan keselamatan dari Angkatan Tentera Malaysia mengalami kecederaan apabila terkena serpihan peluru di jari kirinya.

Keadaan anggota tentera itu dilaporkan stabil setelah menjalani pembedahan mengeluarkan serpihan peluru itu.

Dengan terbunuhnya seorang lagi pengganas itu, menjadikan jumlah pengganas yang ditembak mati adalah 63 orang dan jumlah mayat musuh yang berjaya dibawa keluar dari kawasan konflik adalah 30 orang.

Manakala, Panglima Angkatan Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Md Zin mengesahkan Ketua Pengganas Sulu, Azzimudie Kiram telah meninggalkan kumpulannya dan melarikan diri sejak 11 Mac.

Usaha-usaha penggeledahan di Tanjung Batu masih diteruskan oleh pihak keselamatan.