Seramai 20 ketua keluarga dari Kampung Tanduo dan beberapa pegawai dari Lahad Datu dibenarkan melawat kediaman dan mengenalpasti jumlah kerosakan harta benda menurut Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar.

Ada rumah yang mempunyai kesan tembakan dan pertempuran selain ada yang hanya tinggal tiang, atap atau serba serbi tidak lengkap.

Barang-barang keperluan, harta dan juga dokumen peribadi yang ditinggalkan di dalam rumah juga hilang atau dicuri.

Menurut seorang penghuni kampung berkenaan Asaad Majijil, 70 tahun, rumahnya hancur selain dokumen peribadi yang di tinggalkan di rumah tersebut turut hilang atau dicuri.

"Ia sangat dahsyat dan menakutkan apabila melihat keadaan rumah saya dan sekitarnya tadi. Memang teruk," katanya yang masih terkejut.

Sementara itu, Khalid berkata, terdapat beberapa individu dari Semporna dan Sandakan didapati mengirimkan wang ke Jolo bagi membantu aktiviti pengganas.

"Ini merupakan satu kesalahan berat dan perbuatan tersebut dipercayai dilakukan untuk membantu pihak pengganas," ulas Khalid.

Tambahnya, terdapat banyak kemungkinan terhadap tindakan beberapa pihak penyaluran dana yang dilakukan kepada pihak pengganas.

Sehingga hari ini, seramai 429 orang telah ditangkap manakala 116 lagi didakwa di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan 42 tahanan telah dibebaskan.

Mereka yang ditahan akan didakwa di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan jika mereka didapati bersalah akan berdepan hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati mandatori.