KUALA SELANGOR: Lebih 5,000 peluang pekerjaan dari pelbagai sektor tersedia dalam Karnival Kerjaya Jaminkerja Keluarga Malaysia 2022 yang berlangsung selama dua hari bermula Khamis, di pusat beli-belah 1 Plaza, di sini.

Inisiatif berterusan anjuran Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu menyasarkan pengunjung atau pencari kerja selain turut menerima penglibatan daripada 26 buah syarikat.

Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan Perkeso, Azirruan Arifin berkata, menerusi inisiatif tersebut pihaknya berjaya mencapai kejayaan sehingga 40 peratus dalam usaha penempatan pekerjaan tersedia.

“Karnival ini adalah bagi memastikan kita dapat melaksanakan kerja-kerja penempatan pekerjaan bagi golongan-golongan belia dan mereka yang hilang pekerjaan khususnya ketika musim pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) lalu.

“Mereka yang terjejas akibat penutupan perniagaan, syarikat serta para pencari kerja di luar sana adalah menjadi kumpulan sasar bagi inisiatif dilaksanakan ini. Sebanyak 67.4 peratus daripada kekosongan jawatan ditawarkan menyediakan kadar gaji lebih daripada RM2,000,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI ketika ditemui pada program Karnival Kerjaya Jaminkerja Keluarga Malaysia di sini semalam.

Tambahnya, 95 peratus kekosongan jawatan tersebut adalah tawaran penempatan pekerjaan di kawasan Lembah Klang.

Dalam pada itu, menurut Azirruan, KSM khasnya menerusi Perkeso menyedari tentang isu penipuan pekerjaan dan memandang serius terhadap perkara tersebut.

“Antara perkara-perkara yang telah dilakukan, kami memberikan syarat bagi penglibatan dalam pencarian kerja di karnival ini.

"Jawatan-jawatan ditawarkan hanyalah di dalam Malaysia sahaja (bukan kekosongan pekerjaan luar negara).

“Kita juga ada pegawai-pegawai ditugaskan memberi perkhidmatan kepada para majikan. Justeru, perhubungan itu berlaku secara terus.

"Nasihat serta pematuhan ini dapat dilakukan oleh anggota-anggota langsung dengan syarikat-syarikat berkenaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, kerajaan bercadang membangunkan sebanyak 13 lagi Pusat Satelit MyFutureJobs di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara.

Usaha tersebut adalah bagi meningkatkan peluang pekerjaan khususnya komuniti luar bandar.

Pusat Satelit ini adalah penting untuk merapatkan jurang di antara kerajaan persekutuan dan penduduk di bandar-bandar kecil dan di peringkat akar umbi.