Perkhidmatan LRT selamat digunakan walau dilanda gangguan - Prasarana

Tan Su Lin
Julai 23, 2015 09:10 MYT
Prasarana memberi jaminan bahawa biarpun perkhidmatan LRT mengalami gangguan, namun tren berkenaan masih selamat digunakan. -Foto Twitter @khaspg
Syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini memberi jaminan bahawa biarpun perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) mengalami gangguan, namun tren berkenaan masih selamat digunakan.
Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Datuk Azmi Abdul Aziz berkata audit keselamatan dijalankan setiap minggu bagi memastikan operasi khidmat tren berkenaan selamat.
Beliau berkata demikian semasa merujuk kepada kejadian dua buah gerabak tren LRT diselubungi asap berhampiran stesen Setiawangsa dan Universiti semalam.
“Dalam kejadian yang berlaku semalam, paling mustahak adalah Prasarana berjaya menangani insiden tersebut dengan selamat dan cepat.
“Kami berjaya memindahkan kesemua 53 penumpang dengan selamat menggunakan kaedah tren ke tren dalam tempoh tidak sampai lima minit,” katanya, ketika ditemui pada taklimat media berkenaan projek sambungan jajaran LRT di ibu negara.
Beliau berkata, walau bagaimanapun, pihaknya akan bertemu dengan syarikat pembekal tren untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak kejadian daripada berulang.
Beliau turut melahirkan rasa kecewa kerana pengeluar tren Aliran Transit Ringan (LRT) dan pengeluar breknya masih gagal menyelesaikan masalah brek tren sejak Februari lepas.
Azmi berkata insiden semalam yang melibatkan gangguan perjalanan dua buah tren bagi Laluan Kelana Jaya di Stesen Setiawangsa dan Stesen Universiti merupakan kejadian kali keenam setakat ini tahun ini.
Kejadian sebelum ini berlaku pada 11 Feb, 25 Feb, 18 Mac dan 28 Mac.
Pengeluar tren ialah Bombardier-Hartasuma dari Kanada sementara pengeluar brek Knorr Brake Company dari Jerman.
Beliau berkata pihaknya telah memaklumkan mengenai kegagalan sistem brek dalam empat kejadian sebelum ini kepada kedua-dua pihak berkenaan.
"Saya memang kecewa dengan tindak balas yang kita dapat daripada mereka yang kurang memuaskan. Sebaik kejadian semalam, kita sudah memberi notis keras kepada kedua-dua syarikat itu dan saya harap mereka dapat menyelesaikan isu ini dengan segera," kata Azmi.
Pada Rabu, dua tren LRT mengalami masalah brek sehingga menyebabkan asap tebal.
Insiden berlaku berdekatan stesen Setiawangsa, Kuala Lumpur dan satu lagi di Stesen Universiti, Petaling Jaya.
#audit keselamatan #LRT #prasarana