KUALA LUMPUR:Impak sosio-ekonomi daripada pandemik COVID-19 mendedahkan bahawa perlindungan sosial di Malaysia berada di tahap minimum berbanding negara berpendapatan tinggi dan berpendapatan sederhana tinggi.

Isu ini diketengahkan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan (SWRC) Universiti Malaya Datuk Emeritus Prof Dr Norma Mansor dalam webinar bertajuk "Safeguarding Malaysian workers and households: Impacts and avenues for Malaysia's social protection in COVID-19 and beyond" (Melindungi pekerja dan isi rumah Malaysia: Impak dan kaedah bagi perlindungan sosial Malaysia semasa COVID-19 dan selepasnya) yang diadakan di sini pada Jumaat.

Webinar itu dianjurkan oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia.

Norma berkata ketidaksamaan perlindungan sosial di Malaysia adalah disebabkan oleh beberapa faktor termasuk hasil cukai rendah dan perbezaan pendapatan.

"Berbanding negara-negara lain, perbelanjaan sosial Malaysia kepada peratusan daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) adalah lebih rendah berbanding negara berpendapatan tinggi dan berpendapatan sederhana tinggi.

"Kita disenaraikan sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi, tetapi perlindungan sosial kita lebih rendah berbanding negara lain dalam kumpulan tersebut.

"Dalam kalangan negara ASEAN, kita setanding dengan Thailand dari segi perbelanjaan sosial tetapi rendah sedikit berbanding Singapura dan Vietnam," katanya.

Nisbah cukai berbanding KDNK Malaysia adalah 12.5 peratus pada 2018, berada di bawah purata penanda aras Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) pada 34.3 peratus.

Pada 2018, cukai pendapatan korporat mencatatkan bahagian tertinggi daripada hasil cukai negara pada 47.9 peratus diikuti cukai pendapatan peribadi pada 18 peratus.

Norma mencadangkan pendekatan kitaran hidup bagi memberi manfaat kepada kategori rentan, serta memberi mandat kepada semua rakyat Malaysia untuk mencarum ke dana seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Orang ramai tidak mempunyai sesuatu untuk digunakan ketika dalam kesukaran sekiranya mereka tiada perlindungan sosial.

"Jika kita tidak berinovasi, kita tidak boleh mencapai produktiviti yang kita mahu di negara ini melainkan kita membetulkan aspek keselamatan rakyat kita," katanya.

Beliau juga mencadangkan entri satu platform bagi semua manfaat perlindungan dan penggunaan bagi kelayakan kepada manfaat, sama seperti penjagaan kesihatan sejagat sedia ada.

"Apa yang saya cadangkan adalah untuk membentuk satu platform tunggal; yang anda boleh daftar sama ada di Perkeso atau Lembaga Hasil Dalam Negeri, kemudiannya anda juga mendaftar bagi program perlindungan sosial lain," katanya.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Bank Dunia Malaysia Dr Amanina Abdur Rahman berkata Malaysia perlu memberi tumpuan kepada perlindungan sosial di samping menggalakkan pekerjaan yang produktif bagi membantu kumpulan pendapatan rendah dan menyediakan kaedah kepada mereka untuk mengasah kemahiran bagi mendapat pekerjaan yang lebih baik.

"Ekonomi hanya akan pulih apabila orang ramai mula berbelanja semula, dan orang hanya akan berbelanja jika mereka mendapat semula pekerjaan. Ia adalah proses beransur-ansur," katanya.

Webinar itu juga disertai pensyarah kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan Universiti Malaysia Sabah Dr James Alin dan dimudahcarakan oleh felo dasar sosial dan integrasi nasional ISIS Malaysia, Terence Too Yang-Yau.

-- BERNAMA