KUALA LUMPUR: Pelbagai perkara perlu diambil kira dalam melaksanakan perlindungan sosial khusus untuk warga emas di negara ini

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata selain penelitian dan kajian, kedudukan kewangan kerajaan semasa juga perlu diambil kira.

Katanya, perkara itu akan diperincikan Jawatankuasa Kerja Insurans Sosial di bawah Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) yang diterajui Kementerian Kewangan.

"Pada masa ini, dalam usaha untuk memastikan kelangsungan hidup warga emas, KPWKM menyediakan kemudahan kewangan berbentuk bantuan bulanan kepada warga emas yang berkelayakan, iaitu Bantuan Warga Emas (BWE) di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"BWE ini diberikan kepada warga emas yang memenuhi kriteria yang ditetapkan untuk meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan dalam komuniti.

"Sehingga bulan Oktober 2021, jumlah penerima BWE adalah seramai 137,793 orang," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang meminta KPWKM menyatakan inisiatif dan pertimbangan kementerian menyediakan skim insurans yang akan memberikan bantuan kewangan kepada warga emas bagi menampung kos sara hidup mereka pada masa hadapan.

Bagaimanapun, jelasnya selain pendekatan penyediaan program insurans sosial, KPWKM berpandangan bahawa peranan keluarga perlu diperkukuhkan.

Ia bagi meningkatkan kesejahteraan ahli keluarga selaras dengan tahap kebertanggungjawaban terhadap keluarga, membudayakan amalan ihsan yang memupuk semangat kebersamaan keluarga, memastikan suasana harmoni dapat dikecapi keluarga serta menyemai sikap berkhidmat kepada keluarga bagi membantu ahli yang memerlukan bantuan seperti yang diterapkan dalam pendekatan ‘Keluarga Malaysia’.