KUALA LUMPUR: Pelancong yang ingin mengunjungi Pulau Langkawi perlu memohon kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri.

Menurutnya, mulai 16 September, Langkawi boleh dikunjungi pelancong dari seluruh negara yang
memenuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk dari negeri yang berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Bagaimanapun, katanya kebenaran ini tidak terpakai kepada yang sedang berada di kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).


"Pelancong mempunyai pilihan untuk pergi ke Langkawi melalui jalan udara dan darat. Bagi pergerakan menggunakan jalan darat, pelancong perlu menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan, sekurang-kurangnya untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan dari destinasi permulaan ke jeti feri ke Langkawi.

"Manakala bagi pelancong yang memulakan perjalanan mereka ke Langkawi dari negeri Kedah dan Perlis, serta yang menggunakan jalan udara, mereka tidak diwajibkan untuk menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. 

Selain terhad kepada individu yang telah lengkap dua dos vaksin, antara SOP yang perlu dipatuhi pengunjung ialah ia mestilah percutian secara harian, bermalam, dengan tempahan penginapan atau tiket masuk yang dibuat lebih awal, percutian pakej pelancongan melalui syarikat pelancongan yang berlesen dan berdaftar dengan MOTAC. 

Bilangan penumpang setiap kenderaan semasa dalam perjalanan pula adalah tertakluk kepada kapasiti sebenar kenderaan tersebut, dan pengunjung perlu menunjukkan bukti dokumen pembelian produk pelancongan semasa memohon kebenaran dengan PDRM dan ketika diminta oleh penguatkuasa agensi pematuhan SOP. 

Dalam pada itu, kata Nancy, tiada had umur ditetapkan untuk kemasukan ke Pulau Langkawi dan individu berumur bawah 18 tahun perlu bergerak bersama penjaga yang telah lengkap divaksinasi.

Dalam masa sama, perlindungan insuran serta saringan COVID-19 juga adalah tidak diwajibkan.

"Bagi memastikan kelancaran program serta menjaga kepentingan Keluarga Malaysia secara keseluruhan, MOTAC akan membuat pemantauan berhubung pelaksanaan gelembung pelancongan di Langkawi ini dan akan mendapatkan maklum balas daripada masyarakat berkaitan program ini secara keseluruhan dalam tempoh masa dua minggu.

"Maklum balas ini kelak akan dinilai dan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pertimbangan tindakan lanjut, seperti pembukaan lebih banyak destinasi pelancongan yang dikenal pasti selaras dengan aspirasi MOTAC," ujarnya. 

 
Sumber Facebook MyMOTAC