Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak akan menghapuskan permit teksi syarikat walaupun berlaku penambahan permit individu kepada mereka yang berkelayakan.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar menjelaskan bahawa langkah itu bagi memastikan model pembangunan industri pengangkutan teksi dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan.

Syed Hamid berkata, pemberian permit teksi individu tidak akan membawa masalah lambakan teksi di seluruh negara.

Menurutnya, beberapa syarikat teksi sudah menyerahkan kembali permit teksi mereka sebagai satu tanggungjawab sosial dan ini bermakna jumlah teksi yang beroperasi tetap terkawal.

“Sistem kami ialah kami beroperasi dan menambahbaikannya supaya industri tidak menderita. Individu-individu tersebut dapat memperoleh pendapat yang lebih baik,” kata Syed Hamid.

Ujarnya, langkah mengekalkan permit kepada syarikat adalah jauh lebih berkesan berbanding manifesto pakatan pembangkang yang berhasrat menghapuskannya jika menang pada pilihan raya ke-13 (PRU-13).

Bagaimanapun, katanya, SPAD tidak akan mengeluarkan permit sewenang-wenangnya, sebaliknya mengambil kira faktor permintaan dan pertambahan penduduk di negara ini.