KUALA LUMPUR: Sebarang permohonan baharu atau penyambungan surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) bagi tapak perlombongan dalam kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini tidak akan dipertimbangkan lagi berdasarkan dasar semasa.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, walaupun kerajaan menggalakkan usaha membangunkan industri mineral, namun, kerajaan masih berpendirian tidak akan menyokong dan mengeluarkan sebarang surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (OMS) sekiranya permohonan perlombongan adalah di atas tanah berstatus Hutan Simpan Kekal (HSK) atau rizab perlindungan dan kawasan yang diwartakan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS)

"Pada masa sama kerajaan negeri juga telah mengeluarkan arahan pemberhentian kerja atau pun Stop Work Order kepada semua aktiviti perlombongan pada 17 Mei 2021 dan masih berkuatkuasa sehingga ke hari ini.

"Selain itu, kerajaan negeri turut melaksanakan moratorium dengan menghentikan semua aktiviti perlombongan di sekitar Tasik Chini pada 17 Jun 2021 dan beberapa tindakan pencegahan turut diambil termasuklah pemantauan kualiti air Tasik Chini, penguatkuasaan arahan penyediaan laporan EIA, pewartaan rizab Hutan Simpan Chini (tambahan) dan memperluaskan Rizab Biosfera UNESCO," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Fuziah Salleh (PH-Kuantan) mengenai tindakan kerajaan untuk merawat dan memulih kembali kawasan Tasik Chini supaya tidak hilang status Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Takiyuddin memaklumkan, pada ketika ini tiada operasi perlombongan di dalam kawasan Man and Biosphere (MAB) Tasik Chini.

"Mengikut rekod Jabatan Mineral dan Geosains hanya tiga pajakan melombong (ML) yang masih berkuat kuasa di dalam kawasan MAB Tasik Chini iaitu ML14/2020 (luput pada 16 September 2025), ML15/2020 (luput pada 16 September 2025) dan ML15/2011 (luput pada 21 September 2022)," tambahnya.

Dalam pada itu, katanya, pada tahun ini, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) melaksanakan program pemulihan dan penghutanan semula sekitar kawasan Tasik Chini.

"Ini termasuk dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal Chini dengan peruntukan sebanyak RM800,000 di bawah inisiatif bajet Kumpulan Wang COVID-19 (KWC), Kementerian Kewangan Tahun 2022-Pemerkasaan Komuniti dan Pemuliharaan Kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini," katanya.

Menjawab soalan tambahan Fuziah, Takiyuddin berkata, kementeriannya sedang menggerakkan usaha penanaman pokok secara besar-besaran dalam masa terdekat bagi tujuan pemulihaan kawasan terbabit.

"Saya yakin dan percaya tindakan diambil ini tidak akan menyebabkan status UNESCO itu ditarik balik. Saya akan gerakkan penanaman pokok secara besar-besaran dan akan membabitkan semua pimpinan, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pahang dalam waktu terdekat untuk memulihkan keadaan sebenar di Tasik Chini," katanya.

Kelmarin, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya pajakan lombong di Tasik Chini yang tamat tempoh, tidak disambung dan kawasan itu dihijaukan semula dengan segera.