KUALA LUMPUR: Permohonan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membatalkan empat tuduhan menggunakan kedudukan untuk suatu suapan berjumlah RM232.5 juta bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan didengar pada 11 Julai ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu pada sebutan kes itu pada Rabu.

Dalam prosiding itu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik memberitahu mahkamah pihaknya akan mengemukakan hujahan yang panjang dalam permohonan itu kerana ia membabitkan isu baharu.

Muhyidddin bagaimanapun dikecualikan daripada hadir pada prosiding hari ini namun diwakili peguam Datuk K Kumaraendran dan Amer Hamzah Arshad.

Bekas Perdana Menteri itu memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lalu dan memohon prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, beliau mendakwa empat tuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.

Katanya, ia berikutan tiada mana-mana satu pun daripada tuduhan terbabit mendedahkan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Muhyiddin, 75, sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti berkenaan.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.