IPOH: Permintaan pasangan Malaysia untuk mengadakan pernikahan di Thailand tahun lalu meningkat dua kali ganda.

Peningkatan itu berlaku susulan pembukaan semula sempadan negara selepas ditutup selama hampir dua tahun disebabkan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Seorang ejen nikah sempadan mahu dikenali Kamal, 50, berkata, jika sebelum ini mereka menerima 15 hingga 20 pasangan sebulan yang mahu menggunakan perkhidmatan, namun jumlah itu melonjak kepada 30 ke 40 pasangan.

"Disebabkan dua tahun sempadan tidak dibuka, jadi banyak urusan pasangan yang mahu melangsungkan pernikahan di selatan Thailand tertangguh.

"Ini antara faktor peningkatan berlaku secara mendadak. Begitupun kita terpaksa mengehadkan pasangan untuk dibawa bagi memudahkan proses urusan agar berjalan lancar," katanya.

Kamal yang telah berpengalaman lebih 12 tahun dalam perkhidmatan itu memberitahu, di Songkhla sahaja, tidak kurang 20 pasangan dari Malaysia bernikah setiap hari dan jumlah itu akan bertambah apabila tibanya musim cuti sekolah.

"Setakat ini, Songkhla, Narathiwat, Yala, Pattani, Satun dan Bangkok antara lokasi yang diiktiraf dan diterima oleh kedua-dua negara bagi urusan pernikahan sempadan.

"Paling kerap adalah di Songkhla kerana kedudukannya dekat dengan konsulat dan memudahkan pasangan mendapatkan pengesahan pernikahan," katanya.

Beliau mengakui kebanyakan pasangan negara ini sanggup mengambil risiko bernikah di sempadan kerana proses pendaftarannya lebih mudah terutama bagi urusan berpoligami.

Katanya, mereka sanggup mengeluarkan perbelanjaan mengikut pakej yang ditawarkan antara RM2,000 ke RM5,000 untuk kumpulan biasa serta serendah RM10,000 bagi golongan kenamaan asalkan segala urusan lancar.

"Bayaran ini termasuklah bagi urusan keluar masuk sempadan, urusan nikah, bayaran imam dan jurunikah bertauliah serta segala dokumen berkaitan nikah," katanya. -Sinar Harian