PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperkenalkan perkhidmatan permohonan pasport secara dalam talian sepenuhnya di Pejabat Imigresen Kajang, Kelana Jaya dan Wangsa Maju bermula 1 Jun depan.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, inisiatif itu diambil dalam menangani isu kesesakan di pejabat pengeluar pasport Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang sering disuarakan rakyat.

"Mulai 1 Jun ini Jabatan Imigresen akan memperkenalkan perkhidmatan secara dalam talian sepenuhnya melalui My Online Passport di tiga cawangan terpilih di Pejabat Imigresen Kajang, Kelana Jaya dan Wangsa Maju.

"Sebab apa kita pilih sebab rekod di pejabat ini berurusan dengan permohonan yang tinggi. Tiga pejabat ini mulai 1 Jun orang ramai boleh memohon pasport hanya dengan cara online," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri dan penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Putrajaya pada Selasa.

Bagaimanapun ujar Saifuddin, tiga pejabat pengeluar pasport itu masih menerima enam kategori pelanggan yang ingin membuat permohonan atau pembaharuan pasport secara walk-in.

"Melainkan walk-in boleh untuk kanak-kanak 12 tahun ke bawah, warga emas 60 tahun ke atas, bakal jemaah haji. Nanti Tabung Haji (TH) akan keluarkan senarainya dan mereka boleh walk-in.

"Pelajar yang berumur 21 tahun ke bawah yang dapat tawaran belajar luar negeri, orang kelainan upaya (OKU) dan ahli keluarga yang mengiringi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah juga boleh mendapatkan perkhidmatan secara walk-in," katanya lagi.

Mengulas lanjut ujar Saifuddin, sejak April hingga Disember tahun lalu sebanyak 2.3 juta pasport telah dikeluarkan.

Manakala bagi tahun ini sehingga 12 Mei, sebanyak lebih 1.6 juta pasport telah dikeluarkan JIM.