KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin akui sememangnya terdapat kekeliruan dengan ciri daftar keluar lokasi atau check out menerusi aplikasi MySejahtera.

Beliau menegaskan bahawa pihaknya akan memantapkan lagi fungsi aplikasi tersebut selaras dengan fungsinya untuk mengetahui lokasi dan masa yang tepat setiap pengguna.

“Ya, saya tahu ramai yang memberi komen berkenaan dengan fungsi check out. Saya sendiri telah tidur di pasar raya jika lihat kepada sejarah check in saya, sebab saya terlupa untuk check out.

“Jadi, kita akan melihat apakah kaedah yang terbaik untuk kita memastikan fungsi check out ini dapat diguna dengan sempurna.

“Kami (Kementerian Kesihatan) mengakui bahawa penggunaannya agak rumit, agak susah pematuhan check out dari segi tingkah laku.

“Semua tidak akan keluarkan MySejahtera bila tinggalkan sesuatu premis, jadi kita akan melihat semula perkara itu untuk selesaikannya,” jelas Khairy dalam sidang media KKM pada Jumaat.

BACA: 'Macam tidur semalaman di Parlimen' - Fahmi Fadzil tegur butang 'check out' MySejahtera

BACA: MySejahtera selesaikan 500,000 aduan sijil vaksinasi digital - Khairy

BACA: Ingkar kuarantin, KKM kesan 523 'check-in' babit individu positif COVID-19 di Kedah

Namun jelas Khairy, tujuan utama aplikasi itu sejak awalnya adakah untuk mengesan lokasi dan juga menjejaki kontak rapat seseorang, tetapi ia mungkin perlu ditambah baik lagi.

“Dari segi niatnya, niatnya adalah untuk kita mendapatkan maklumat lokasi yang lebih tepat supaya kita tahu anda berada di lokasi ini untuk tempoh masa yang spesifik, itu niatnya.

“Niatnya memang baik cuma dari segi pelaksanaannya perlu dimantapkan lagi,” kata Ahli Parlimen Rembau itu lagi.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil turut memberi kritikan berhubung beberapa ciri baharu yang ditambah baik terhadap aplikasi MySejahtera.

Jelas beliau, ramai dalam kalangan pengguna aplikasi tersebut 'terlupa' untuk menekan butang daftar keluar atau çheck out kerana tiada peringatan yang diberikan untuk melengkapkan fungsi daftar masuk pada aplikasi COVID-19 itu.

"Ada yang seolah-olah tidur semalaman di Parlimen," kata Fahmi Fadzil.