Empat lelaki bersenjatakan parang mengambil masa tidak sampai dua minit untuk melarikan wang tunai RM500,000 dari sebuah kedai pengurup wang di Jalan Besar, Sungai Bakap di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) DSP Shamsudin Mamat berkata dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 pagi itu, empat lelaki yang memakai topeng dan menutup muka menggunakan kain serta bersarung tangan telah menyerbu masuk kedai berkenaan.

"Mereka menaiki kereta jenis Proton Waja kelabu dan berhenti di hadapan kedai sebelum meluru masuk dan mengacukan parang ke arah tiga pekerja wanita di dalam premis perniagaan berkenaan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata seorang daripada empat lelaki itu turut mengarahkan mereka yang berada di dalam kedai supaya diam dan tidak melawan jika tidak mahu dicederakan.

Katanya empat lelaki dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an itu bertindak mengambil sebuah beg mengandungi wang tunai sebanyak RM500,000 yang terdapat di atas meja di kedai itu sebelum melarikan diri menaiki kereta menuju ke arah Nibong Tebal.

"Wang tunai yang terdapat di dalam beg itu adalah hasil urus niaga sepanjang tiga hari dan difahamkan pekerja kedai berkenaan baru sahaja selesai mengira duit serta mahu memasukkannya ke dalam bank berhampiran premis itu," katanya.

Shamsudin berkata tiada sesiapa yang cedera dalam kejadian rompakan itu kerana mereka yang berada di dalam kedai berkenaan tidak melawan serta hanya mendiamkan diri kerana takut.

Katanya pemeriksaan awal mendapati nombor pendaftaran kereta Proton Waja WRQ 6094 yang dinaiki suspek adalah palsu, dan polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kedai dan kawasan berkenaan.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai empat lelaki itu agar tampil membantu siasatan.