Persatuan Bank-Bank Malaysia beri amaran panggilan palsu

Bernama
Februari 20, 2017 07:25 MYT
Awas panggilan palsu! - Gambar hiasan
Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) hari ini memberi amaran kepada orang ramai tentang panggilan palsu yang mengguna talian hotline, 1-300-88-9980, mendakwa daripada bank berkenaan dengan penggunaan kad kredit.
"ABM ingin memberi amaran kepada orang ramai bahawa panggilan sedemikian adalah palsu," kata persatuan tersebut sambil menambah pihaknya menerima pertanyaan daripada orang ramai tentang panggilan telefon yang dibuat menggunakan nombor talian hotline ABM.
Persatuan itu menegaskan bahawa institusi kewangan, termasuk pengeluar kad kredit, tidak akan meminta maklumat perbankan peribadi yang sensitif melalui panggilan telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau emel.
"Orang ramai perlu sentiasa berwaspada untuk melindungi maklumat peribadi mereka sepanjang masa," kata persatuan itu dalam satu kenyataan.
Persatuan tersebut menasihatkan sesiapa yang memberi maklumat peribadinya kepada pemanggil sedemikian, agar menghubungi dengan segera bank yang berkenaan dan membuat laporan polis.
Mereka juga boleh menghubungi ABM bagi mendapatkan bantuan, jika perlu, katanya.
Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang penipuan berkaitan kewangan, orang ramai dinasihatkan agar melayari laman web ABM di http://www.abm.org.my atau menghubungi ABM di talian 1-300-88-9980 atau 03-2078 8041.
-- BERNAMA
#ABM #kad kredit #pangila palsu #persatuan bank malaysia #tipu pengguna