KUANTAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah bersedia hadapi Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini dengan 332 balai bomba seluruh negara dan 12,500 anggota operasi berada dalam keadaan siap siaga.

Malah persediaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia kali ini adalah lebih baik berbanding musim MTL tahun lalu sebagaimana arahan Perdana Menteri yang mahukan bencana tahun dihadapi dengan lebih menyeluruh.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, selain 12,500 anggota operasi, bomba juga akan menggerakkan 3,200 anggota bomba bukan operasi, serta berkolaborasi dengan agensi-agensi bantuan yang lain

"Sekiranya sesuatu kawasan itu akan mengalami keadaan banjir yang ekstrem ataupun fenomena-fenomena lain yang mungkin memudaratkan, kita juga akan menggerakkan (sumber dari) negeri yang berdekatan untuk membantu.

"Logistik ini akan sentiasa secara dinamik bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lebih difokuskan, yang mungkin kemudaratan akibat bencana ini terlalu tinggi," ujar beliau.

Tambah Mohammad Hamdan, pihaknya juga telah bersedia dengan 1,800 aset iaitu 1,400 buah kenderaan darat, 400 peralatan logistik marin dan lapan pesawat helikopter yang berpangkalan di Bertam Pulau PInang, Subang dan Miri.

Bomba juga akan bersedia dengan sembilan pangkalan hadapannya sendiri di Terengganu, Johor, Pulau Pinang, Kuching, Sibu, Miri, Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan.

Menurut Mohammad Hamdan, bomba turut mengambil kira kejadian banjir luar biasa seperti di kawasan yang tidak dijangka akan berlaku banjir.

"Contohnya di Pahang ni, dah dua tempat. Satunya adalah di Maran dan satu lagi di Bentong yang mana keadaannya  lebih dahsyat dari tempat yang lazimnya berlaku. Jadi kita juga akan melihat kemungkinan  seperti ini untuk pastikan kita tidak terlepas dari segi memberi perlindungan keselamatan kepada penduduk ataupun mangsa yang terperangkap," ujarnya.

Mohammad Hamdan berkata demikian selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Negeri Pahang pada Isnin.