Persidangan DUN Pulau Pinang ditangguhkan

Bernama
Mei 20, 2016 15:28 MYT
Sepanjang persidangan tujuh hari itu, 73 soalan lisan, 662 soalan bertulis dan lapan usul dikemukakan termasuk dua usul tergempar. - Gambar fail
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang berlangsung sejak 10 Mei lepas ditangguhkan hari ini ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.
Sepanjang persidangan tujuh hari itu, 73 soalan lisan, 662 soalan bertulis dan lapan usul dikemukakan termasuk dua usul tergempar.
Dua usul tergempar itu ialah usul pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang yang dibentangkan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow dan usul skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibentangkan Ketua Menteri Lim Guan Eng.
Dua usul tergempar itu dibentang dan dibahaskan, manakala enam lagi usul dicadang dan dibentangkan.
Antara usul yang dikemukakan adalah usul penutupan dua akaun amanah yang tidak aktif dalam Kumpulan Wang Amanah Kerajaan Negeri Pulau Pinang, usul pelantikan Anggota Jawatankuasa (AJK) Kira-kira Kerajaan, usul pelantikan AJK Hak dan Kebebasan serta usul pelantikan AJK Dewan.
Dua lagi usul ialah usul pelantikan AJK Peraturan-peraturan Mesyuarat dan usul pelantikan AJK Perlembagaan.
Persidangan DUN meluluskan kesemua usul yang dicadang dan dibentangkan itu.
Speaker Datuk Law Choo Kiang kemudiannya menangguhkan persidangan DUN ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
#DUN Pulau Pinang #persidangan dewan undangan negeri